Nicol David
Nicol David

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara Datuk Nicol David mengalami kekalahan besar dalam kerjayanya sejak 2002 apabila ditewaskan pemain remaja dari Mesir, Hania El Hammamy dalam pusingan pembukaan di kejohanan Terbuka Windy City di Chicago, Amerika Syarikat pada Jumaat (Sabtu waktu Malaysia).

Nicol, Juara Dunia lapan kali menguasai permainan pada dua set pertama dengan kemenangan 11-8, 11-8, namun pemain dari Kaherah berusia 17 tahun itu menampilkan prestasi yang boleh dipuji dengan menewaskan Nicol 11-4, 11-3, 11-9 dalam perlawanan itu, menurut laman web skuasy, www.squashsite.co.uk.

Untuk rekod, Nicol pernah tewas dalam pusingan pertama Kejohanan Siri Dunia pada Terbuka Seattle 2002 di Amerika Syarikat.

Kemenangan itu menyaksikan Hania mara ke pusingan kedua bertemu Alison Waters selepas pemain England itu menewaskan Joey Chan dari Hong Kong dalam persaingan sengit dengan mata 11-5, 11-7, 8-11, 4-11 and 11-4 dalam pusingan pembukaan lain.

Cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki telah berakhir selepas dua pemain – Ng Eain Yow dan Mohd Nafiizwan Adnan – gagal melepasi pusingan kelayakan.- BERNAMA