MADRID – Penyerang veteran, Fernando Torres terus dikaitkan lagi dengan sebuah kelab bola sepak di Asia.

Kali ini, bekas penyerang Chelsea dan Liverpool, Fernando Torres dilaporkan semakin hampir untuk menyertai kelab bola sepak Dalian Yifang di Liga Super China (CSL).

Ini kerana kontrak pemain berusia 33 tahun ini bersama Atletico Madrid bakal tamat pada musim panas akan datang.

Ketika ini, Torres semakin sukar mendapat tempat di dalam kesebelasan utama Atletico, terutama selepas ketibaan Diego Costa pada Januari lalu.

Selain daripada Costa, Atletico turut memiliki penyerang prolifik Antoine Griezmann.

Ini menyebabkan Torres mahu mengubah angin, dan akhbar Marca melaporkan Dalian Yifang bersedia untuk merealisasikan impian Torres.

Atletico adalah kelab menyebabkan karier Torres mendapat perhatian ramai.

Namun, penyerang itu mengambil keputusan untuk menyertai Liverpool pada 2007.

Tampil sebanyak 102 kali bersama kelab Mersyside tersebut, Torres menjaringkan 65 gol, sebelum perpindahan kontroversi ke Chelsea pada Januari 2011.

Walaupun dinilai dengan angka £50 juta (angka cukup besar pada era itu), Torres gagal menjelmakan sentuhan yang pernah menjadikan beliau sebagai antara penyerang paling prolifik di eropah.

Torres kemudiannya menyertai AC Milan secara pinjaman sebelum kembali ke Atletico pada 2015. – MalaysiaGazette