Home Dunia Letupan kuat gegarkan Leicester

Letupan kuat gegarkan Leicester

Letupan kuat yang memusnahkan bangunan di Leicester, England. foto Agensi

LEICESTER – Satu letupan berlaku memusnahkan sebuah kedai serbaneka dan rumah di bandar Leicester, England serta mencederakan sekurang-kurangnya enam orang.

Polis British berkata, setakat ini tidak ada petunjuk kejadian itu dikaitkan dengan keganasan.

Gambar dan video yang dipaparkan di Twitter menunjukkan api menjulang tinggi di kawasan kejadian.

“Semua perkhidmatan kecemasan sedang memberi bantuan kecemasan,” kata pasukan polis dalam satu kenyataan.

Letupan itu menyebabkan dua orang dalam keadaan kritikal manakala empat lagi cedera.

Beberapa saksi yang menetap berhampiran kawasan kejadian berkata, mereka terdengar bunyi letupan kuat dan menakutkan.

Jabatan bomba menghantar enam jentera ke kawasan tersebut selepas menerima laporan.

Sebuah bangunan disahkan musnah manakala beberapa lagi mengalami kerosakan.

Polis telah meminta semua orang yang berada berhampiran termasuk penduduk dan kakitangan pusat komersial meninggalkan bangunan masing-masing sementara siasatan dijalankan. – MalaysiaGazette