KUALA LUMPUR – Badan bukan kerajaan (NGO) Islam tampil bersuara mengenai tindakan selebriti terkenal, Neelofa yang melancarkan koleksi tudungnya di sebuah kelab malam.

Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq) menerusi presidennya, Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, hijab adalah identiti muslimah yang sepatutnya menjadi faktor penghalang untuk tidak mendekati tempat maksiat.

“Betapa jauhnya wanita Muslim kini daripada prinsip dan falsafah sebenar kita memakai hijab. Hijab adalah identiti yang berkembar rapat dengan takwa, identiti kita sebagai wanita muslim, yang sepatutnya menjauhi tempat – tempat maksiat, seperti kelab malam.

“Apatah lagi The Zouk yang pernah mengundang berbagai kontroversi kerana penangkapan artis muslim yang minum arak dan pertandingan ratu cantik membabitkan peserta Islam suatu masa dahulu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Rafidah selain itu menasihatkan Neelofa untuk merujuk al-Quran mengenai hijab dalam kalangan muslimah kerana alasan bersabit tema dan kos penajaan tidak boleh dijadikan alasan menghalalkannya untuk memilih kelab malam sebagai lokasi melancarkan koleksi tudung.

“Alasan yang diberikan adalah tema dan kos penajaan yang murah? Bukankah terlalu banyak tempat lain yang boleh dipilih yang lebih sederhana kosnya? Yang lebih mulia?

“Betul, jangan difikirkan kata-kata orang, namun mohon Neelofa rujuklah semula ayat-ayat al-Quran berkenaan hijab dan menghayati semula pesanan Allah.

Dalam pada itu penyanyi rap, Caprice atau Ariz Ramli menerusi akaun Instagram terkejut dan pada mulanya tidak mempercayai tindakan Neelofa.

Namun ujarnya, setelah melihat video-video wanita berhijab menari sewaktu majlis pelancaran tudung yang tular di laman sosial, sukar untuk Caprice ‘bersangka baik’.

Bagaimanapun beliau melihat tindakan pengacara program Meletop itu dari sudut positif. -MalaysiaGazette

Neelofa tak peduli kritikan netizen