Mahfuz Omar
Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Tempat duduk Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar akan dipindahkan ke kawasan blok anggota Parlimen Bebas pada mesyuarat pertama penggal keenam Parlimen ke-13 yang akan bermula Isnin ini.

Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah berkata keputusan itu diambil setelah mendapat persetujuan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“Yang Berhormat Pokok Sena (Mahfuz) memaklumkan kepada Yang Dipertua (Pandikar Amin) bahawa beliau tidak lagi menjadi anggota PAS dan memohon untuk dipindahkan tempat duduk.

“Dan perkara ini (pindah tempat duduk) telah pun mendapat kelulusan daripada Yang Dipertua dan Yang Dipertua pun telah menetapkan tempat duduk yang baharu kepada Yang Berhormat Pokok Sena bersama-sama dengan kawasan Bebas,? katanya kepada Bernama selepas raptai penuh Istiadat Pembukaan Penggal Keenam Parlimen ke-13, di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Mahfuz pada 31 Dis lepas mengumumkan keluar daripada PAS selepas 34 tahun bersama parti itu kerana dikatakan tidak sehaluan dengan kepimpinan parti, namun belum lagi memutuskan untuk menyertai mana-mana parti politik.-BERNAMA