Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Insiden seorang individu ditembak mati di hadapan Sekolah Kebangsaan Sri Serdang Khamis lalu mengejutkan semua pihak, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan polis untuk menghadapi peristiwa seumpama itu.

“Apa yang berlaku di luar sekolah biasanya polis akan memberi laporan kepada jabatan pendidikan mengenai sebarang situasi luar biasa.

“Bagaimanapun kementerian sendiri memandang serius insiden yang langsung tak dijangka diluar sekolah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian selepas istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama penggal keenam persidangan ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Sultan Muhammad V di sini.

Tambah Mahdzir, walaupun insiden itu berlaku di luar sekolah, pihaknya memandang serius kejadian itu yang turut mencemaskan para ibu bapa yang kebetulan sedang menuggu untuk mengambil anak mereka di pintu masuk sekolah itu.

Terdahulu, polis dalam perkembangan berkaitan mengesahkan lelaki yang ditembak mati 1 Mac lalu semasa menunggu anaknya pulang dari sekolah di perhentian bas berhampiran SK Sri Serdang oleh dua lelaki yang menaiki motosikal terbabit dengan kumpulan kongsi gelap Geng 08.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor tidak menafikan mangsa G. Ganeshan, 39, yang dikatakan seorang pemilik restoran, berkemungkinan terbabit dengan aktiviti jenayah termasuk dadah.- MalaysiaGazette