KUALA LUMPUR – Masalah gangguan bekalan air yang tidak pernah selesai di Lembah Kelang menunjukkan pengurusan air negara sangat teruk.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr George Jacob berkata, meskipun apa alasan Syarikat Pengurusan Air Selangor (Syabas) berhubung isu gangguan air, ia tetap bertitik tolak daripada kelemahan operasi.

“Sama ada gangguan sementara, catuan atau apa sahaja ayat atau perkataan yang digunakan oleh Syabas untuk menyatakan tentang gangguan air ia tetap menyusahkan pengguna.

“Tidak kira berapa lama gangguan air, yang merana, yang susah adalah pengguna tidak kiralah isi rumah ke, premis perniagaan atau sebagainya,” katanya kepada MalaysiaGazette bagi mengulas mengenai gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja pembaikan kritikal di Loji SSP3.

Sejak semalam sebahagian besar penduduk Selangor dan Kuala Lumpur mengalami masalah bekalan air.

Tempoh pembaikan kerja-kerja pemulihan itu pula dijangka tersasar selepas sistem mampatan udara di loji berkenaan pecah petang semalam ketika persediaan untuk mengaktifkan semula operasi loji.

Mengikut jadual ada kawasan yang bakal mendapat air awal pagi ini dan Jumaat.

Memandangkan masalah bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur tidak ada kesudahannya. beliau mencadangkan agar satu Jawatankuasa Khas dibentuk di bawah kelolaan Istana Selangor.

“Cadangan ini pernah dikemukakan dahulu lagi kerana percaya jika di bawah istana, isu air tidak dipandang remah oleh mana-mana pihak.

“Terlalu banyak isu berbangkit berhubung pengurusan membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor, yang menjadi mangsa adalah pengguna.

“Dua tahun lagi Malaysia bakal menjadi negara maju, negara berpendapatan tinggi tetapi mampukah ada satu jaminan masalah gangguan air dapat diselesaikan?

“Tidak guna kita mendabik dada, bangga diri dengan jumlah pelaburan asing di Selangor di Selangor tetapi apabila membabitkan isu air, kita gagal dan ini memalukan” katanya. – MalaysiaGazette