KUALA LUMPUR – Seorang wanita menuntut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membayar semula wang pinjaman ah long yang dibuat kepada persatuan itu berjumlah RM160,000.

Wanita yang enggan dikenali itu mendakwa, sejak Disember tahun lalu dia sudah membuat empat pembayaran sebanyak RM250,000 kepada PPIM yang menjadi orang tengah mengendalikan urusan pinjaman kepada ah long.

Pekerja sektor swasta itu mendakwa dia mula berasa musykil sejak Januari lalu selepas sukar mendapat resit pembayaran daripada PPIM.

“Saya sudah beberapa bertemu wakil PPIM dan sering menerima pelbagai alasan serta dimaklumkan kepadanya semua bayaran sudah dijelaskan kepada ah long.

“Alasan yang diterima apabila tiada resit transaksi bank dibuat dan bayaran dibuat secara manual dan runner.

“Namun saya menemui bukti transaksi bank apabila PPIM hanya baru membuat bayaran RM90,000 baru-baru ini sahaja selepas saya bertanya banyak kali tentang resit pembayaran.

“Jadi saya pelik ke mana baki RM160,000 itu pergi? Pada masa sama, saya masih diganggu beberapa ah long lagi,” katanya di luar pejabat PPIM di sini hari ini.

Dia yang hadir bersama anak dan seorang peguam turut membawa bukti transaksi bank PPIM sebanyak RM90,000.

Sebelum itu dia mengadakan perbincangan dengan Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi.

Dia memberitahu telah berurusan dengan PPIM sejak Disember tahun lalu bagi menyelesaikan hutangnya dengan ah long berjumlah RM350,000.

Jelasnya, jumlah itu melibatkan seramai 64 ah long yang semuanya urusan dikendalikan oleh PPIM.

Dalam pada itu, Yusuf Azmi berkata, PPIM akan menyiasat isu jumlah yang dibayar wanita tidak sama dengan jumlah yang dibayar oleh PPIM kepada ah long.

Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi

Mengikut rekod, katanya, PPIM telah melunaskan pembayaran pinjaman wanita itu kepada 40 ah long.

Tegasnya, pihaknya akan mengadakan sidang media bersama esok untuk memulang baki yang diminta jika terbukti berlaku ketidaktelusan dalam urusan pembayaran pinjaman itu.

“Sebenarnya pengadu mungkin tidak faham terdapat resit bank dan manual yang tidak sama akan melibatkan komisen kakitangan ketika berurusan dengan ah long.

“Anak buah saya berurusan dengan ah long dan menyelamatkan pengadu daripada diganggu, ugut dan sebagainya dan pengambilan sedikit komisen berbaloi dengan nyawa pengadu.

“Pada masa sama, terdapat bayaran yang dilambatkan untuk main tarik tali dengan ah long di mana orang ramai tidak faham dengan kaedah yang digunakan,” katanya.

Sementera itu, sesi perbincangan itu menjadi kecoh apabila sekumpulan individu hadir bertindak masuk dan cuba membawa lari beberapa fail pengadu lain.

Keadaan menjadi tegang apabila terdapat adegan tolak-menolak selain kumpulan individu itu masuk lagi ke dalam pejabat PPIM ingin merakam kekecohan itu.

Difahamkan, lebih ramai pengadu yang sama kes seperti wanita itu akan tampil mendedahkan ketidaktelusan pembayaran pinjaman ah long oleh PPIM dalam terdekat ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast