SHAH ALAM – Bekalan air di keseluruhan kawasan di Kuala Lumpur, Gombak, Klang, Shah Alam, Hulu Selangor dan Kuala Langat sudah kembali beroperasi sepenuhnya, kata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Bagaimanapun, hanya tiga kawasan di Petaling masih dalam proses pemulihan bekalan, kata syarikat itu mengenai status terkini pemulihan bekalan air.

Lokasi tersebut ialah Taman Bukit Kuchai, Bandar Puchong Jaya dan Subang Jaya SS12 hingga SS19.

“Pihak kami mengambil segala usaha dan tindakan untuk meningkatkan tekanan dan aliran di kolam perkhidmatan serta sistem agihan bagi mempercepat proses pemulihan sepenuhnya di kawasan yang berada di lokasi tinggi dan di penghujung sistem agihan,” kata Syabas dalam kenyataan hari ini.

Gangguan bekalan air berlaku mulai 6 Mac lalu berikutan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3), Ijok, Selangor kerana kerja pembaikan peralatan kritikal disusuli paip sistem mampatan udara yang pecah.

Ia menjurus kepada jadual pemulihan gangguan bekalan air terpaksa dilanjutkan dan dilapor menjejaskan 563,622 akaun pengguna.

Loji rawatan air itu dikendalikan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash). – MalaysiaGazette