Razali Ibrahim

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim mengesahkan bekas pengerusi dan juga pengarah Felda terdahulu menandatangani surat kuasa wakil penuh bagi pembangunan tanah agensi itu di Jalan Semarak.

Kelulusan tersebut diberikan untuk tujuan pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang mana sebelum ini tercetus kontroversi pemindahan hak milik kepada syarikat pemaju, Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB).

“Kita zaman sekarang tak boleh sembunyi-sembunyi pun, banyak benda akan terdedah. Sekarang saya jawab di Parlimen. PA (surat kuasa wakil penuh) tersebut ditandatangani oleh pengerusi Felda dan pengurus besar ketika itu.

“Maknanya (pendedahan) ini bukan bertujuan tentukan siapa betul, siapa salah kerana siasatan masih berlangsung,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Dengan jawapan tersebut, ia sekali gus menjawab tuduhan mengatakan transaksi melibatkan tanah itu berlaku bawah kepimpinan pengerusi Felda sekarang, Tan Sri Shahrir Samad.

Untuk rekod, Tan Sri Isa Samad merupakan pengerusi Felda sejak 2010 sebelum digantikan Shahrir pada Januari 2017.

Jelas Razali lagi, langkah mendapatkan semula hak milik tanah tersebut bertujuan menjamin aset penting Felda tersebut daripada risiko sekiranya berlakunya kegagalan daripada pemaju.

“Kita tahu tanah itu diagihkan secara strata. Yang mustahak, dalam membangunkan projek, kita harap (pemaju) berjaya, tapi kalau dalam tempoh pembinaan, syarikat yang dilantik itu gagal, jadi mana lebih baik? Gulung tikar dengan tanah sekali dia bawa atau gulung tikar tapi tanah di bawah Felda? Bagi kita, (kita boleh) cari syarikat yang baru.

“Sebab itu Pengerusi Felda (Shahrir) merujuk kepada hak milik tanah yang terlepas dan khuatir apa berlaku nanti dan kita tak ada kawalan atas projek yang nak dibangunkan,” katanya semasa bagi menjawab soalan Ahli Parlimen PPBM Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Felda mengesahkan telah mendapat kembali kesemua 16 lot tanah Jalan Semarak di Kuala Lumpur yang sebelum ini bertukar tangan kepada syarikat SPSB.

Menurut Shahrir, hak Felda untuk mendapat kembali tanah tersebut adalah sebahagian daripada perjanjian baharu dengan syarikat itu pada 15 Januari lalu. – MalaysiaGazette