Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki bercakap pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KKLW dan Ikrar Bebas Rasuah di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2018.
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh terus menyiasat mana-mana individu hanya berdasarkan laporan media semata-mata tanpa memperolehi fakta yang jelas, lebih-lebih lagi pihak asing.
Timbalan Ketua Pesuruhjayanya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata, orang ramai perlu memberi masa yang mencukupi kepada pihaknya untuk memperoleh fakta berkenan sebelum tindakan diambil.
 
“Kita dapat tahu daripada sumber terbuka, artikel yang dikeluarkan di luar negara, dan beberapa kenyataan daripada pihak Ketua Polis Negara dan Timbalan Perdana Menteri.
“Sebagai pihak penyiasat ini, kita perlukan fakta dahulu dan sudah tentu fakta ini seperti yang kita tahu, fakta dari luar negara asing, iaitu Australia.
“Dalam penyiasatan ini, kami kena dapatkan fakta yang jelas dahulu. Kita tak boleh macam dapat satu fakta terus kita siasat,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Ikrar Bebas Rasuah di Dewan Lestari, KKLW, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kontroversi timbul berhubung akaun Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. yang disita oleh polis Australia.
Pada dua Mac lalu, akhbar Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan polis Australia membekukan A$320,000 (RM970,000) dalam akaun ‘Goal Saver’ Bank Commonwealth milik Wan Ahmad Najmuddin kerana mengesyaki ‘kemasukan wang tunai mencurigakan’ dalam akaun itu yang tidak aktif selepas dibuka pada 2011.
Menurut laporan itu, kemasukan wang kurang daripada A$10,000 (RM30,310) bermula seminggu selepas Wan Ahmad Najmuddin melawat Australia pada 2016.
SMH melaporkan baki akaun Wan Ahmad Najmuddin bertambah hampir A$290,000 (RM878,997) kepada A$320,000 (RM969,928) dalam tempoh sebulan, menyebabkan pihak berkuasa mengesyaki wang itu adalah hasil kegiatan jenayah atau pengubahan wang haram.
Azam berkata, pihaknya perlu mendapatkan penjelasan daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman terlebih dahulu sebelum siasatan dimulakan ke atas Wan Ahmad Najmuddin.
“Buat masa ini kita akan berkomunikasi dengan pihak Bukit Aman dahulu untuk mendapat penerangan lebih kurang apakah siasatan telah mereka jalankan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas isu terowong dasar laut Pulau Pinang, Azam berkata, siasatan kes berkenaan masih berjalan dan tiada tangkapan baharu dilakukan setakat ini.
Jelasnya, SPRM kini sedang berunding dengan pakar perunding daripada agensi kerajaan negeri bagi mendapatkan kajian kos projek berkenaan.
“Pakar perunding ini adalah perundiung bebas dari jabatan kerajaan. Kita kena berunding dengan perunding agensi kerajaan terlebih dahulu seperti Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kemudian, dengan nasihat mereka (agensi kerajaan), kita mungkin berunding dengan perunding di sektor swasta,” katanya. – MalaysiaGazette