PASIR PUTEH – Kerja meroboh Pasar Besar Pasir Puteh oleh Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) tidak dapat dilakukan apabila dihalang sebahagian besar 375 peniaga yang menjalankan perniagaan di situ, hari ini.

Kumpulan yang kebanyakannya wanita itu menghalang jentolak daripada merobohkan pasar tersebut bermula 9.30 pagi, namun kehadiran sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh telah dapat mengawal keadaan.

Sebelum ini, MDPP mengeluarkan notis supaya peniaga terbabit berpindah ke pasar baharu Pasar Siti Hajar yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ, namun mereka enggan berpindah atas alasan kawasan berkenaan tidak strategik dan ruang niaga yang sempit.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Pasar Pasir Puteh, Kamarzaman Che Ngah berkata pihak berkenaan tidak sepatutnya cuba merobohkan pasar tersebut kerana para peniaga telah membawa perkara itu ke mahkamah.

“Peniaga bersedia mematuhinya sekiranya mahkamah membuat keputusan supaya mereka berpindah ke pasar yang baharu itu tetapi pihak MDPP sepatutnya menunggu keputusan itu sebelum mengambil tindakan untuk meroboh pasar ini,” katanya.-BERNAMA