Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman bercakap pada sidang media Mesyuarat Bersama Pengeksport Daging Kerbau dari India di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 12 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan tiada lagi gangguan daripada kartel yang didakwa mencetuskan permasalahan terhadap pengimportan daging kerbau sejuk beku dari India.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, empat syarikat pembekal daging kerbau di India yang memiliki tujuh loji penyembelihan bersetuju untuk membekalkan daging sejuk beku kepada pengimport negara ini.

Katanya, mereka memberi jaminan bahawa pengimport daging kerbau sejuk beku di Malaysia tidak akan berdepan masalahgangguan kartel dan bekalan daging itu selepas ini.

“Yang menjadi masalah sekarang untuk kita dan pengimport daging kerbau sejuk beku di negara ini adalah kesukaran untuk mendapatkan bekalan daging daripada pembekal asal di India.

“Kami difahamkan memang wujud kartel yang cuba memonopoli perniagaan ini, sekali gus mencantas dan merugikan peniaga kita khususnya pengimport bumiputera dalam industri ini.

“Hasil perjumpaan selama lebih sejam dengan wakil empat syarikat pembekal utama daging kerbau sejuk beku itu menyatakan komitmen 100 peratus kepada kementerian bahawa tidak akan berlaku masalah bekalan selepas ini,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat dengan pengimport daging kerbau sejuk beku dari India dan pengimport tempatan di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) hari ini.

Tujuh loji penyembelihan itu telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) setelah diaudit mencapai standard Amalan Pengilangan Baik (GMP), HACCP serta halal yang ditetapkan.

Sementara itu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, pada tahun lalu negara mengimport daging kerbau sejuk beku bernilai RM1.9 bilion dari Syarikat Amroon, Allana, Al-Quresh dan Al Noor dari Mumbai dan New Delhi, India.

“Saya tidak mahu hak peniaga bumiputra dan bukan bumiputra daging kerbau di negara ini dinafikan hak memperluaskan perniagaan hanya kerana ganggauan kartel.

“Jangan ada pergaduhan dalam kalangan pengimport di sini, dan tidak mahu kartel mempermainkan bisnes dengan taktik kotor.

“Kementerian tidak teragak-agak untuk bertindak tegas berlunaskan undang-undang dalam hal ini jika peniaga cuba brmain kotor menyusahkan peniaga lain,” tegas beliau.

Katanya, daripada 195 syarikat yang mendapat kebenaran mengimport daging sejuk beku sejak hanya 38 syarikat aktif menjalankan perniagaan dengan tujuh peratus daripada jumlah itu adalah syarikat bumiputera.

“Untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai pengimport bumiputra, kita tidak boleh memaksa mereka dalam industri ini, ia terpulang kepada peniaga. Kami hanya boleh sediakan platform dan tangkis halangan sahaja.

“Saya seru pengimport bumiputera gunakan sebaik-baiknya peluang besar untuk mengembangkan perniagaannya import daging kerbau sejuk beku dari India,” katanya. – MalaysiaGazette