Home Utama Hutang negara melambung RM1 trilion jika hapus GST

Hutang negara melambung RM1 trilion jika hapus GST

Datuk Seri Najib Razak pada sesi Bajet 2018 Bersama Rakyat: Belia dan Pelajar di Universiti Malaysia Perlis.

KUALA LUMPUR – Hutang Malaysia akan melambung kepada RM1 trilion jika hasil-hasil negara termasuk kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan tol dihapuskan.

Perdana Menteri berkata, pemansuhan GST, tol, PTPTN dan lain-lain cukai akan menyebabkan tambahan hutang sebanyak RM416 bilion.

“Kalau ditambah, kita dah kira hutang tambahan melambung, melonjak RM416 bilion tambah, dengan hutang sedia ada, RM1 trilion.

“Kalau kerajaan kata kita menambahkan hutang negara hari ini, pembangkang punya manifesto lagi dahsyat. Adik-adik sekaranglah yang akan tanggung hutang.

“Sebab itu kita tak boleh tipu, jangan tipu rakyat. Yang mana boleh buat kita buat. Yang tak boleh buat, kita kata tak mampu,” kata Datuk Seri Najib Razak dalam sesi Bajet 2018 Bersama Rakyat: Belia dan Pelajar di Unimap.

Jelas beliau, GST sebenarnya adalah hasil yang dikutip kepada yang beli lebih, bayar lebih.

Katanya, meskipun negara memperkenalkan GST tetapi terdapat 600 barangan tidak dikenakan cukai tersebut, sekali gus meletakkan negara paling banyak meletakkan ‘zero-rated’ di dunia.

Jelasnya, barangan keperluan seperti beras, susu, tepung, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan tidak dikenakan cukai itu.

“Semasa SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) negara hanya mendapat RM18 bilion sahaja dan kalau kita mengembalikan SST negara kekurangan RM27 bilion. Mana hendak dapat bakinya?

“Dalam bajet, kalau kurang RM27 bilion tu, separuh daripada pembangunan tidak boleh buat. Elaun penjawat awam pun boleh beri, belum lagi kenaikan gaji,” tambah beliau.

Najib sekali lagi menegaskan beliau juga tidak suka dengan sistem tol tetapi terpaksa mewarisi daripada pemerintah lama.

Oleh sebab itu, dalam Bajet 2018 kerajaan menghapuskan empat tol dan akan mengkaji tol-tol lain yang boleh dihapuskan.

Bagaimanapun, ia tidak boleh dilaksanakan secara serentak. – MalaysiaGazette