Home Dunia Uber gantung ujian kereta tanpa pemandu

Uber gantung ujian kereta tanpa pemandu

Kereta tanpa pemandu milik Uber. foto Agensi

ARIZONA – Uber menggantung semua ujian kereta tanpa pemandu di bandar-bandar Amerika Utara selepas berlaku kemalangan maut.

Dalam kejadian itu seorang wanita dirempuh kereta tanpa pemandu ketika melintas jalan di Tempe, Arizona.

Kereta tanpa pemandu telah terlibat dalam beberapa kemalangan tetapi membabitkan kemalangan maut adalah kali pertama.

Ketua Uber, Dara Khosrowshahi menyifatkan kematian wanita itu sebagai berita sedih.

Polis berkata, kemalangan itu berlaku pada malam Ahad ketika kereta itu dalam mod tanpa pemandu tetapi ia dipantau manusia.

Polis mendakwa, ketika kejadian mangsa, Elaine Herzberg  tidak menggunakan laluan melintas.

Herzberg yang cedera dibawa ke hospital dan kemudian disahkan meninggalkan dunia.

Beberapa syarikat termasuk Ford, General Motors, Tesla dan Waymo membuat pelaburan besar-besaran untuk membangunkan kereta tanpa pemandu untuk industri masa depan, selain bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya. – MalaysiaGazette