Shaharudin (tiga, kanan) menunjukkan gambar salah seorang penjenayah yang dikehendaki pihak polis untuk membantu siasatan jenayah kes ragut dan bergambar bersama bahan bukti kes ragut dan jenayah komersial bersama sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas seorang lelaki warga Iran menangkap peragut dipercayai melarikan beg tangan isterinya di depan hotel mewah di Jalan Conlay di sini berjaya menyelesaikan beberapa kes ragut pelancong di sekitar ibu negara tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, suspek gagal melarikan diri apabila terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya selepas meragut beg mangsa berusia 43 tahun.

“Suspek berumur 23 tahun itu kemudian ditangkap suami mangsa yang berada di tempat kejadian dengan bantuan beberapa pengawal keselamatan dan pekerja hotel berkenaan sebelum diserahkan kepada polis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan jenayah ragut terhadap mangsa dan terlibat dengan tujuh kes ragut lain di beberapa lokasi di ibu negara dan Ampang, Selangor sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata, modus operandi suspek ialah bergerak berseorangan menggunakan motosikal di kawasan tumpuan orang ramai dan menyasarkan pelancong asing, terutamanya yang bersendirian.

“Suspek akan mengambil kesemua barangan berharga sebelum membuang beg tangan mangsa ke dalam sungai atau longkang besar di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Shaharuddin berkata, suspek direman enam hari bermula hari ini hingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Dalam pada itu, beliau berkata polis kini mengesan seorang lelaki berumur 26 tahun yang dipercayai aktif melakukan kes ragut rantai emas di sekitar ibu negara.

Katanya, suspek yang beralamat terakhir di Taman Taming Impian, Kajang pernah ditahan 14 kali sebelum ini bagi membantu siasatan pelbagai kes termasuk ragut.

“Suspek yang menunggang motosikal akan mengenal pasti mangsa terutamanya wanita yang memakai rantai emas sebelum meragut rantai yang dipakai lalu melarikan diri,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, DSP M. Gunalan pada talian 019-3114418. – BERNAMA