Ben Liew bersama beberapa mangsa yang didakwa telah di tipu oleh sebuah syarikat perancang perkahwinan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat perancang perkahwinan yang popular dalam laman sosial, Facebook, dikenali sebagai ‘Pakar Kenduri Malaysia’ (PKM) didakwa telah menipu para pelanggannya sehingga mencecah hampir RM500,000 dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Biro Aduan Parti Gerakan, Ben Liew Pok Boon berkata, beliau menerima aduan daripada sembilan mangsa yang dipercayai telah ditipu oleh syarikat terbabit yang didalangi seorang lelaki Melayu bernama Mohammad Lukman Ashaari.

Jelas Ben Liew, rata-rata mangsa di tipu selepas individu terbabit menerima bayaran penuh sebelum menghilangkan diri pada hari perkahwinan.

“Selepas biro aduan kita membuat pendedahan tentang penipuan syarikat ini, saya secara peribadi telah menerima panggilan tidak kurang daripada sembilan orang mangsa yang di tipu berbelas dan berpuluh ribu ringgit.

“Selepas membayar jumlah yang diminta, lelaki itu atau pekerja syarikat itu akan bertindak menghilangkan diri tanpa membayar mana-mana pihak lain seperti jurukamera, mak andam dan sebagainya.

“Apa yang lebih menyedihkan apabila perkhidmatan katering yang juga di bawah syarikat ini dikenali sebagai ‘Hanani Kitchens’ juga tidak menghantar makanan seperti dijanjikan pada hari majlis. Mereka akan bertindak menutup telefon serta menghilangkan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri beberapa orang mangsa yang mengalami kerugian berjumlah hampir RM200,000.

Menurut salah seorang mangsa, Hapizah Abdul Ghani, beliau kerugian sebanyak RM17,350 pada hari perkahwinan anaknya pada 24 Mac lalu.

Jelasnya, PKM pada saat-saat akhir, tidak menghantar perkhidmatan katering sehingga ratusan tetamu yang hadir hampir tidak dapat menikmati makanan tengahari.

“Bayangkan, kami terpaksa memasak pada saat-saat akhir dan membeli lauk pauk di semua kedai merata tempat di sekitar Pandan Jaya dan Ampang. Bukan sahaja malu, saya amat kecewa kerana terlampau percayakan syarikat perancang ini.

“Saya amat kecewa kerana ini merupakan perkahwinan pertama dalam keluarga kami. Bayangkan betapa terujanya kami, tetapi seolah-olah berakhir dengan tragedi seperti ini. Saya juga cuba menghubungi syarikat ini tetapi mereka menghilangkan diri.

“Saya bersama anak kemudian membuat laporan polis terhadap syarikat ini sebelum bertindak membuat aduan di Biro Aduan Gerakan di sini hari ini,” katanya yang menangis teresak-esak.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 31 Mac ini, Mohamad Faez Mohd Zamberi,26, terpaksa berputih mata apabila rugi hampir RM14,200.

“Saya sudah tidak tahu bagaimana mahu selesaikan perkara ini kerana perancang perkahwinan saya hanya mendiamkan diri serta hilang begitu sahaja. Ibu bapa saya hanya mampu melakukan kenduri doa selamat menggantikan majlis perkahwinan seperti yang diimpikan kerana segala wang telah diberikan kepada syarikat ini.

“Apa yang lebih menyakitkan adalah, mereka telah meminta saya membayar dengan cepat supaya mendapat potongan harga sehingga 10 peratus, kerana percaya saya juga bertungkus lumus mengumpul bayaran itu.

“Mana tahu, mereka akan hilang selepas menerima bayaran tersebut. Majlis dah dekat tapi saya sekeluarga terpaksa berulang alik ke balai polis dan biro aduan pula untuk mendapatkan pengadilan,” ujarnya.

Ben Liew berkata, pihaknya sedang mengumpulkan bahan bukti selain meminta lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan menjejaki dalang syarikat ini.

“Saya juga mula menerima panggilan telefon dari pelbagai pihak yang didakwa telah ditipu oleh syarikat terbabit, mungkin jumlah kerugian juga dijangka meningkat,” tegasnya.