Home Utama Inkues pelajar dituduh curi telefon bimbit guru hujung Mei ini

Inkues pelajar dituduh curi telefon bimbit guru hujung Mei ini

M.Vasanthapiriya

PULAU PINANG – Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian pelajar perempuan yang membunuh diri akibat dituduh mencuri telefon bimbit milik gurunya ditetapkan pada 24 dan 25 Mei ini.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Mahkamah Koroner Georgetown, Norsalha Hamzah pagi ini bagi membolehkan kedua-dua pihak melengkapkan dokumen berkaitan selain memanggil saksi untuk kes tersebut.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai inkues, J.G Kaameni manakala guru terbabit diwakili peguam, V. Parthipan yang dilantik Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

Dalam pada itu, Parthipan berkata, pihaknya dijangka memanggil seramai 30 saksi termauk guru terbabit bagi keterangan sepanjang prosiding berkenaan.

Sementara itu, Presiden NUTP, Kamarozaman Abd. Razak yang turut hadir memberi sokongan kepada guru terbabit berkata, pihaknya akan cuba membantu guru berkenaan tanpa tanpa mengganggu siasatan kes.

Dalam masa sama, beliau menggesa masyarakat tidak menghukum atau menilai guru berkenaan dengan pelbagai persepsi selagi kes berkenaan belum diputuskan mahkamah.

“Masyarakat juga perlu faham guru juga terpaksa berdepan dengan pelbagai risiko dan ragam ibu bapa yang kita tidak tahu.

“Apabila isu seperti ini terjadi, ia sememangnya satu cabaran yang sangat besar hingga membuatkan guru terbabit berdepan tekanan,” katanya.

Tambah beliau, guru tersebut kini masih ditempatkan di pejabat pendidikan daerah (PPD) sementara menunggu siasatan penuh dijalankan.

Dalam kejadian 24 Januari lalu, pelajar berkenaan, mendiang M. Vasanthapiriya, 14, dipercayai cuba membunuh diri dengan menggantung diri menggunakan kain sari di biliknya akibat tertekan selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik seorang guru sekolahnya.

Kejadian itu disedari bapanya yang membawa remaja terbabit ke hospital, tetapi mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada pukul 3.30 pagi kira-kira seminggu kemudiannya.

Kes itu mendapat perhatian masyarakat dengan pelbagai pihak tampil membuat kenyataan terbuka sehingga memaksa polis memohon mengadakan inkues bagi memastikan siasatan berjalan lancar. – MalaysiaGazette