Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan pada Majlis Pelancaran Program Karnival Sukan Antara Universiti 2018 di UPM, Serdang. foto FAREEZ FADZIL, 23 FEBRUARI 2018.

PARLIMEN Hulu Selangor yang selama ini menjadi kubu kuat MIC mungkin goyah seandainya penyandang kini, Datuk P. Kamalanathan bertanding sekali lagi?

Itu desas-desus yang mula didengari dalam kalangan pemerhati politik.

Seperti yang semua maklum, Hulu Selangor di wakili oleh majoriti masyarakat Melayu  sebanyak 62 peratus di ikuti Cina 21 peratus kemudian masyarakat India 16 peratus.

Rata-rata dalam Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO Hulu Selangor dikatakan menolak Kamalanathan sebagai calon dan mahu digantikan dengan orang lain pada PRU-14.

Antara  beberapa nama baharu yang kini bertiup kencang bagi menggantikan Kamalanatan termasuk Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri SK Devamany.

Satu lagi nama yang disebut-sebut adalah Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari yang juga merupakan anak mantan Presiden MIC, Tun Samy Vellu.

Menurut sumber, MIC dikatakan mencapai kemenangan luar biasa berikutan sokongan tidak berbelah bahagi oleh UMNO serta masyarakat Melayu di kawasan itu sebelum itu namun selepas dua penggal Kamalanathan dikatakan sukar bekerjasama dengan pimpinan komponen lain di Hulu Selangor.

“Kami bukan mahu burukkan prestasi Kamalanathan cuma berharap dapat bekerjasama dengan calon lain selain beliau.

“UMNO menang besar di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Batang Kali dan Hulu Bernam, sokongan kita sangat besar dan kemenangan kali ini juga perlu berdasarkan dengan sokongan serta kemenangan kita sebelum ini.

“Kita mohon kepada Perdana Menteri merangkap Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak untuk dengar juga suara kami. Mohon pertimbang calon yang boleh menang kerana ini adalah kerusi selamat BN,” tegasnya.

Di DUN Batang Kali, kemenangan majoriti 5,398 manakala Hulu Bernam pula mencecah lebih 3,032 pengundi tetapi Parlimen Hulu Selangor pula hanya menang majoriti sebanyak 3,414, ini sekaligus membuktikan sokongan terhadap calon itu tidak begitu memberangsangkan.

Sejak tahun 1990, kerusi Parlimen Hulu Selangor dimenangi MIC sehingga tahun 2004, sebelum tewas kepada calon PKR pada tahun 2008.

Wakil rakyat pertama Parlimen Hulu Selangor daripada UMNO iaitu Datuk Halimaton Sadiah dan kerusi itu pernah diberikan kepada MCA sebelum  diserahkan kepada MIC pada tahun 1990.

Kamalanathan yang juga Timbalan Menteri Pendidikan merampas kembali kerusi itu untuk BN pada tahun 2013, apabila mengalahkan calon PKR, Khalid Jaafar dengan majoriti kira-kira 3,400 undi.

Mengikut sejarah, kerusi Hulu Selangor hanya sekadar dipinjamkan oleh UMNO kepada parti-parti komponen, bermula dari UMNO kemudian MCA serta MIC.

Ketika Pilihan Raya Kecil (PRK), gelombang kuat masyarakat Hulu Selangor mahukan calon Melayu tetapi mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu meminta supaya MIC diberikan kerusi tersebut serta berjanji akan ‘memulangkan’ kembali kepada UMNO.

Pada tahun lalu, Pemuda UMNO Hulu Selangor  telah mengusulkan agar Kamalanathan tidak dicalonkan semula dan dalam usul itu juga menyebut seandainya MIC berkeras untuk mencalonkan Kamalanathan maka kerusi itu perlu dipulangkan kembali.

Kamalanathan didakwa tidak memberi kerjasama yang sewajarnya kepada pemimpin BN yang lain di Hulu Selangor sehingga menyebabkan ramai ‘makan hati’.

Kamalanathan juga tidak mendapat sokongan daripada guru-guru di Hulu Selangor walaupun beliau merupakan Timbalan Menteri Pendidikan.

Dakwa sumber, Kamalanathan juga kerap menghantar wakil menggantikan beliau untuk program-program di sekolah dan kawasan.

Beliau juga sudah dikenali sebagai wakil rakyat yang kerap berjanji tanpa menunaikannya.

Sejauhmana kebenarannya ia tentu sudah ada dalam kad laporan Pengerusi BN dan siapa yang perlu keluar dan masuk sebagai calon dan wakil BN akan ditentukannya sebaik mungkin.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast