LONDON – Paul Pogba akhirnya menjelaskan spekulasi hubungan dinginnya bersama Jose Mourinho dan perpindahan dari Old Trafford pada hujung musim ini.

Pemain tengah itu menegaskan, dia tidak mempunyai masalah dengan pengurus kelahiran Portugal itu walaupun tidak diturunkan dalam kesebelasan utama bulan lalu.

“Memang benar saya diletakkan dibangku simpanan dan ia tidak pernah berlaku kepada saya. Namun tindakan itu dapat memberi motivasi buat saya. Anda perlu melalui tempoh ini untuk membuat anda lebih kuat.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Mourinho. Bukan saya yang memilih pasukan. Tanya jurulatih jika anda ingin tahu kenapa saya kurang bermain. Saya menghormati pilihannya,” katanya menurut laporan The Sun.

Mengulas tentang hasrat dia ingin meninggalkan United gara-gara isu dingin itu, bintang antarabangsa Perancis itu berkata, terlalu awal untuk bercakap tentang perpindahan.

Namun jelasnya, keadaan boleh berubah bila-bila masa dan yang penting dia akan kembali ke tahap prestasi terbaiknya.

Menjawab kenyataannya ingin bermain bersama Neymar, Pogba menjawab:
“Neymar? Saya hanya berkata, saya mengimpikan untuk bermain dengan dia, Messi atau Cristiano.

“Tapi itu tidak bermakna saya mahu berpindah kelab,” katanya. – MalaysiaGazette