Home Nasional Rumah orang miskin Sabah tak senonoh, perlu ganti PPRT

Rumah orang miskin Sabah tak senonoh, perlu ganti PPRT

KUALA LUMPUR – Wakil rakyat Sabah berharap manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan diumumkan esok perlu melibatkan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghafur Salleh berkata, ini kerana kebanyakan kediaman golongan miskin di negeri di bawah bayu itu berada dalam keadaan daif.

“Bantuan rumah untuk orang miskin juga perlu seperti pembinaan PPRT kerana kita tahu di Sabah termasuk Sarawak sebenarnya banyak yang masih tinggal di kawasan luar bandar rumah mereka tidak senonoh.

“Jadi mungkin itu perlu ditekankan dalam manifesto yang akan diumumkan nanti,” katanya kepada Malaysiagazette ketika dihubungi.

Ujarnya, golongan miskin yang tidak mempunyai rumah sendiri setidaknya mendapat kediaman yang lebih selesa daripada kerajaan.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin berkata, adalah penting menjelang pilihan raya ini jika isu tempatan di Sabah, khususnya membabitkan keadaan jalan raya dan bekalan air serta elektrik, diselesaikan oleh BN.

Bung Mokhtar mengakui di kawasan Parlimennya sehingga kini masih belum 100 peratus dapat merasai kemudahan seperti itu.

“Kita yakin apa yang telah kita syorkan kepada Perdana Menteri akan diambil pertimbangan ini bukan untuk memancing undi tetapi ini adalah realiti.

“Antara syor yang kita cadangkan iaitu semua jalan-jalan di Sabah yang tidak berturap akan diturap, jalan tanah merah dinaik taraf.

“Di kampung-kampung pula kepada isu selama ini pembekalan air dan elektrik. Di kawasan saya 30 peratus juga masih belum ada kemudahan ini,” menurut beliau yang menyeru kepada kepimpinan untuk terus membuktikan kerajaan BN sentiasa memberi tumpuan kepada Sabah.

Ghafur dalam pada itu yakin walaupun masalah-masalah keperluan asas penduduk di Sabah masih belum dapat diselesaikan, namun BN secara konsisten berusaha untuk menanganinya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. nanti ada yang repot polis pula kata rumah tak senonoh tu. menghina rakyat sabah . rumah mereka dah cantik dah . macam taman bunga

Comments are closed.