Rizalman Mokhtar

KUALA LUMPUR – “Saya mohon agar semua pihak untuk memberhentikan serangan dan fitnah berterusan terhadap saya melalui media sosial,” tegas Datuk Rizalman Mokhtar hari ini setelah Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan ujian air kencingnya bebas daripada dadah.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak berikrar akan meneruskan usahanya membantu BN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) .

Katanya, ini berikutan tiada tindakan lanjut daripada pihak polis.

Dengan keputusan tersebut, Rizalman menganggap kesnya telah selesai.

“Tumpuan saya sekarang ialah untuk meneruskan Politik Khidmat Bakti dan membantu Barisan Nasional di Bandar Tun Razak menghadapi PRU14. Saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih pada pihak PDRM dan SPRM sepanjang tempoh siasatan ini..

“Terima kasih juga kepada keluarga dan rakan-rakan semua yang memberi sokongan moral kepada saya,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Isnin lalu, Rizalman ditahan dalam serbuan di Club de Vegas di Jalan Imbi di sini oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dan SPRM Putrajaya.

Hasil siasatan awal polis mendapati beliau dan beberapa lagi rakannya positif dadah.

Penahanan beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengejutkan banyak pihak kerana beliau sebelum ini disebut-sebut sebagai calon Barisan Nasional untuk kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada PRU14.

Rizalman sebelum ini mendakwa wujud unsur sabotaj berikutan penahanan tersebut.

Katanya, kejadian tersebut seakan dirancang oleh pihak-pihak tertentu dengan niat untuk menjatuhkan reputasinya sebagai pemimpin UMNO di Bandar Tun Razak. – Malaysiagazette