Ketika dijumpai, mayat itu masih lengkap berpakaian. Terdapat sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki berhampiran mayat tersebut.

GERIK – Mayat seorang lelaki dengan kesan tembakan di kepala, dada dan perut ditemukan di kawasan Ladang Sungai Rui, Ban Pasir, Jalan Gerik-Kupang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman berkata, mayat lelaki tempatan berusia 38 tahun itu dijumpai kira-kira pukul 4 petang semalam hasil maklumat orang awam, lapor sebuah laman portal.

Katanya, selain mangsa turut dijumpai berhampiran mayat tersebut adalah tiga butir kelongsong peluru dan sebuah motosikal berkuasa tinggi.

“Ketika dijumpai, mayat itu masih lengkap berpakaian. Terdapat sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki berhampiran mayat tersebut.

“Siasatan masih dijalankan di tempat kejadian bagi mengenal pasti motif kejadian dengan dibantu Jabatan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

“Siasatan sedang dijalankan dalam semua aspek bagi mengetahui punca kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette