Tan Sri Rafidah Aziz

CHANGLUN – Tindakan perlu diambil ke atas bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz menggunakan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 sekiranya tuduhan berhubung pajakan tanah tentera itu tidak benar.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Zahid Mat Arip berkata, kerajaan boleh mendakwa Rafidah bagi menafikan tuduhan menyeleweng dan tidak semata-mata memberikan alasan penafian yang meragukan.

“Isu tanah tentera, kenapa Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) jadi tukang jawab… sekarang ada Akta Antiberita, gunakan sahaja.

“Saya cabar kerajaan supaya heret Rafidah bawah akta ini bagi membuktikan tuduhan tersebut tidak benar,” kata beliau semasa berceramah di Felda Bukit Tangga semalam.

Rafidah baru-baru ini mendakwa kerajaan membentangkan rancangan untuk memajak ribuan hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dan tentera kepada sebuah syarikat swasta milik tiga individu.

Kementerian Pertahanan menafikan dakwaannya, mengatakan rancangan pembangunan di tanah milik tentera dilaksanakan mengikut prosedur.

Rafidah juga menunjukkan sokongan secara terbuka kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, tetapi enggan mengatakan sama ada beliau akan mengikut jejak langkah bos lamanya itu menyertai PPBM, parti serpihan yang ditubuhkan. – MalaysiaGazette