Datuk Mohd. Puad Zarkashi
Datuk Mohd. Puad Zarkashi

BATU PAHAT – Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempertikaikan kredibiliti metodologi penilaian yang digunakan Timbalan Perdana Menteri berhubung keadaan di Parlimen Batu Pahat.

Mohd. Puad berkata, komen Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu seperti menidakkan kejayaan UMNO Bahagian Batu Pahat menambah keahlian baru selain merupakan antara bahagian tertinggi menambah jumlah pemilih baharu di Johor.

“Saya amat dukacita terhadap komen TPM bahawa keadaan di Parlimen Batu Pahat adalah semakin parah dari segi kerosakan dan hakisan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

“Justeru saya mempertikaikan kredibiliti metodologi penilaian yang beliau gunakan. Sedangkan khidmat wakil rakyat PKR yang teruk menjadikan BN semakin popular,” katanya di laman sosial Facebook beliau, DrPuad Zarkashi di sini hari ini.

Mohd. Puad turut mempersoalkan, adakah disebabkan semua perkara itu BN perlu meletakkan calon lain untuk pastikan kemenangan di Parlimen Batu Pahat.

“Saya ingin bertanya kepada TPM, apakah dengan meletakkan seorang calon kontroversi yang dikaitkan dengan isu moral peribadi boleh menjamin kemenangan?

“Dan apakah dengan meletakkan seorang lagi calon yang selama lima tahun tidak membantu Bahagian dalam menjaga parti, memulaukan Persidangan Perwakilan Tahunan Bahagian selama 5 tahun berturut turut dan lain-lain adalah wajar?

“Di mana hebatnya kaedah penilaian beliau? Ini bukan soal merajuk,” katanya.

Mohd. Puad berkata, ia adalah soal kenapa dibiarkan satu kaedah yang boleh menjadi precedent buruk di masa hadapan digunakan.

Tambahnya, jangan jadikan pemilihan calon pilihan raya sebagai agenda persiapan untuk menghadapi pemilihan parti kerana buruk padahnya. – MalaysiaGazette.

Mohd Puad Zarkashi harus terima hakikat – TPM Zahid