Home Dunia Pemandu van rempuh laluan pejalan kaki, 9 maut

Pemandu van rempuh laluan pejalan kaki, 9 maut

Pemandangan di tempat lokasi yang menyaksikan sembilan mangsa maut dirempuh sebuah van. foto Agensi

KANADA – Sembilan orang terbunuh manakala 16 lagi cedera selepas seorang lelaki yang memandu van merempuh laluan pejalan kaki di Toronto.

Pemandu itu kemudian melarikan diri di persimpangan sibuk di utara bandar Kanada, tetapi berjaya ditangkap.

Rakaman video menunjukkan pemandu berkenaan menunjuk objek kepada polis yang menjerit mengarahkan lelaki itu keluar dari van berkenaan.

Lelaki itu kemudian ditahan tanpa sebarang tembakan dilepaskan.

Identiti suspek belum didedahkan.

Timbalan Ketua Polis Toronto, Peter Yuen meminta saksi-saksi datang memberi keterangan berhubung kejadian itu. Polis telah newujudkan hotline bagi saksi-saksi.

Reza Hashemi, yang memiliki sebuah kedai video di Jalan Yonge, memberitahu, dia mendengar jeritan di seberang jalan.

Beliau berkata, van sewa putih telah berkali-kali cuba memasuki laluan pejalan kaki dan kemudian merempuh orang yang sedang lalu-lalang.

Syarikat sewa van Ryder System Inc mengesahkan bahawa salah sebuah kenderaannya terlibat dalam insiden itu memberitahu akan memberi kerjasama kepada pihak polis.

Kejadian itu berlaku kira-kira 18 batu dari pusat bandar ketika menteri-menteri luar G7 yang terdiri daripada Kanada, Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, Itali dan Jepun sedang bermesyuarat. – MalaysiaGazette