Datuk R. Ragu Moorthy
Ahli Politik veteran MIC, Ragu Moorthy telah meninggalkan parti MIC yang dianggotainya sejak 38 tahun lalu serta merta.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli ahli politik veteran MIC, Datuk R. Ragu Moorthy telah mengumumkan keluar parti itu berkuatkuasa serta merta, lapor akhbar Tamil Malaysia Nanban hari ini.

Beliau yang juga merupakan ahli perniagaan terkemuka yang berpusat di Klang itu membuat keputusan mengejut itu semalam.

Bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC itu difahamkan bertindak sedemikian ekoran kekecewaannya terhadap kepimpinan tertinggi parti berusia 71 tahun itu.

Ragu Moorthy telah berkhidmat dalam parti selama 38 tahun dan pemimpin pertama dalam sejarah parti itu menganggotai CWC dengan memperoleh undi majoriti dalam pemilihan dari tahun 1994 hingga tahun 2015.

Surat keputusan keluar parti itu didakwa dihantar ke ibu pejabat MIC Pusat parti itu semalam.

Beliau mendakwa orang yang bekerja keras dan berkhidmat lama untuk pembangunan parti tidak dihormati dalam MIC pada zaman ini.

“MIC hanya memperjuangkan kemajuan segelintir pihak dalam parti dan tidak ada gunanya kalau saya masih kekal setia dalam parti itu,” katanya.

Ragumoorthy merupakan pemilik gedung pakaian terkemuka India tempatan, Gayathri Silk Palace di Klang dan beberapa lokasi di negara ini.

“Saya sangat berat hati untuk meninggalkan parti tetapi terpaksa mengambil keputusan ini kerana perasaan dan suara ahli akar umbi yang begitu taat dinafikan kepimpinan parti selain tidak dihormati langsung.

“Maka saya rasa lebih baik berundur demi maruah diri,” katanya.

Ragumoorthy telah menganggotai CWC MIC sejak tahun 1994 hingga tahun 2015 selama tiga penggal dengan restu bekas Presiden berkenaan, Tun S. Samy Vellu.

Beliau selain hal ehwal parti turut berkecimpung secara aktif dalam aktitivi kemasyarakatan.- MalaysiaGazette