Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jumlah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dianggarkan 9.13 juta orang, atau 27. 4 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia yang berjumlah 33.83 juta, pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, 4.72 juta orang adalah lelaki dan 4.42 juta penduduk adalah  perempuan.

Ketua Perangkawan Negara, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, komposisi kanak-kanak bawah lima tahun pula merekodkan 2.35 juta dengan 1.21 juta kanak-kanak lelaki dan 1.14 juta kanak-kanak perempuan.

Kumpulan umur ini meliputi 25.7 peratus daripada jumlah kanak-kanak di Malaysia, ujarnya.

“Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun pada 2023 iaitu 41.1 peratus daripada jumlah penduduk W.P. Putrajaya diikuti Kelantan (34.4 peratus) dan Terengganu (33.5 peratus) manakala, Kuala Lumpur mencatatkan peratusan terendah iaitu 22.6 peratus.

“Bagaimanapun, Selangor merekodkan bilangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tertinggi iaitu 1.81 juta, diikuti Johor (1.11 juta) dan Sabah (1.10 juta) sementara bilangan kanak-kanak terendah direkodkan di Labuan iaitu 0.03 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Uzir, dalam perspektif perlindungan kanak-kanak, bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan pada 2022 meningkat 10.2 peratus kepada 6,770 orang berbanding 6,144 orang pada 2021.

Kanak-kanak perempuan mencatatkan bilangan yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan lebih tinggi iaitu 4,303 orang berbanding kanak-kanak lelaki iaitu 2,467 orang pada 2022, tambah beliau.

Beliau berkata, bilangan kes kumulatif kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar pada 2022 ialah 152,000 orang.

“Bilangan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah pada 2022 merekodkan penurunan sebanyak 12.8 peratus iaitu 3,013 kes berbanding 3,457 kes pada 2021,” katanya.

Tambah beliau, bilangan kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak pula meningkat 9.5 peratus pada 2022 dengan 1,621 kes berbanding 1,481 kes pada 2021. – MalaysiaGazette