Home Nasional Lima penjuru di Cameron Highlands

Lima penjuru di Cameron Highlands

160
0
Wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM), Mat Nor Ayat ,calon DUN Jelai dan Suresh Kumar, calon Parlimen Cameron Highlands tiba di pusat penamaan calon Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands.
CAMERON HIGHLANDS – Calon Barisan Nasional (BN) Datuk C Sivarraajh sah dicabar dalam pertembungan lima penjuru di Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang berlangsung pada 9 Mei ini.

Ketua Pemuda MIC itu bakal ditentang calon DAP, M Manogaran dan Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS).

Dua pencabar lain adalah Penyelaras Biro Orang Asli, B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon Berjasa, Mohd Tahir Kasim.

Pengesahan senarai calon itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis pada jam 12.15 tengahari.

Sivarraajh mengemukakan kertas pencalonan pada jam 9.05 pagi.

Terdahulu, Sivarraajh tiba di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands kira-kira 8.52 pagi.

Turut hadir, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, Leong Tak Man dan calon penyandang DUN Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Mereka diiringi kira-kira 2,000 penyokong BN yang mula berkumpul di perkarangaan pejabat Umno Bahagian Cameron Highlands seawal jam 7 pagi.

Sebelum ini, Parlimen Cameron Highland disandang bekas Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel yang ketika ini merupakan Ahli Parlimen Bebas selepas hilang keanggotaan MIC ekoran krisis dalaman parti itu pada 2015. – MalaysiaGazette