Home Politik Pertandingan tiga penjuru di Muar

Pertandingan tiga penjuru di Muar

Parlimen P.146 Muar
Calon Barisan Nasional P. 146 Muar, Datuk Razali Ibrahim (tengah) bergambar kenangan bersama calon daripada Pakatan Harapan dan PAS selepas selesai menghantar borang penamaan calon semepena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Pusat Penamaan Calon P.156 Muar,Sekolah Tinggi Muar, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 28 APRIL 2018.

MUAR – Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di kawasan Parlimen Muar.

Pengurus Parlimen berkenaan, On Jabbar ketika mengumumkan perkara itu sebentar tadi berkata, tidak ada permohonan yang dihantar pagi ini ditolak sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Setelah meneliti permohonan yang kami terima saya berpuas hati dan kesemua calon layak untuk bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pengumuman calon bertanding Parlimen dan DUN berkenaan di padang Sekolah Tinggi Muar di sini sebentar tadi.

Menurut On, ketika undian dibuat oleh calon-calon bagi Parlimen, PAS berada di susunan nombor satu diikuti Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Calon-calon yang akan bertanding pada PRU14 katanya, bagi kerusi Parlimen, Barisan Nasional diwakili Datuk Seri Razali Ibrahim; PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman manakala Pas, Aziz Abdul Mutalib.

Kerusi DUN bagi Maharani akan ditandingi oleh calon BN, Datuk Ashari Md Sarip; PKR, Nor Hayati Bachok manakala PAS, Dr Mohamad Taslim.

Sementara, kerusi DUN Sungai Balang pula, BN meletakkan calon Zaiton Ismail; PKR, Na’im Jusri manakala PAS, Cheman Yusoh. – MalaysiaGazette