Najib Razak

KUALA TERENGGANU – Pembentukan sebuah negara bangsa tidak boleh terbina dengan andaian dan penilaian berdasarkan fitnah dan hasutan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, sebaliknya rakyat perlu bijak menilai berdasarkan fakta dan bukti projek yang telah dilaksanakan seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC), yang jelas memberi keselesaan kepada rakyat.

“Walaupun kita dilanda tsunami fitnah dengan cerita memburukkan kerajaan dan pemimpin, saya ingin nasihatkan bahawa kita tidak boleh membina masa depan sesebuah negara bangsa berdasarkan kepada hasutan dan serangan peribadi, sepatutnya kita menentukan (memilih) siapakah yang ada agenda yang terbaik untuk negara kita.

“Kita juga perlu menentukan bahawa kehidupan kita akan bertambah lebih baik dan (memilih) mana satu pihak yang boleh membawa negara ini ke mercu kejayaan yang kita banggakan. Inilah kriteria yang kita boleh kumpulkan untuk membolehkan kita menjadi pengundi yang matang dan tahu memilih antara permata dan kaca,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan UTC Terengganu di sini, dengan majlis turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh. – MalaysiaGazette