Dr Asan Ali Golam Hassan
Dr Asan Ali Golam Hassan

PUTRAJAYA – Tidak ada jaminan harga barang dapat diturunkan sekiranya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dihapuskan.

Perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Asan Ali Golam Hassan.

Menurut beliau, harga barang tidak ditentukan menerusi cukai sahaja sebaliknya, penetapan itu melibatkan banyak faktor yang lain.

Menurut beliau, cukai adalah sebahagian daripada faktor yang menentukan harga barang.

“Sebagai contoh, bila kita laksanakan GST kita (andaikan) ada tiga jenis bakul barang. Satu bakul yang dikecualikan daripada sebarang cukai. Ini adalah barang yang melibatkan makanan yang belum diproses.

“Bakul yang kedua pula yang mengandungi kadar cukai sifar seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan. Dan yang ketiga ini barulah bakul yang dikenakan GST enam peratus,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Asan Ali turut memberikan contoh bahawa buah-buahan yang diimport tidak dikenakan cukai namun harganhya tetap mahal ekoran kejatuhan nilai ringgit hingga menyebabkan harga barang import menjadi mahal.

Katanya lagi, harga turut ditentukan melalui permintaan dan penawaran bukan hanya ditentukan oleh cukai.

Sementara itu, Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali menegaskan, peningkatan kos sara hidup yang dialami oleh masyarakat di Malaysia ketika ini bukanlah disebabkan pelaksanaan GST.

Katanya, perkara tersebut (kos sara hidup) telah berlaku lebih awal sebelum GST diimplementasikan.

“Sebab itu kalau kita lihat dalam konteks transformasi ekonomi negara, peningkatan sara hidup berlaku adalah sebelum GST diperkenalkan.

“Sebab itu kita kena berhati-hati dalam meletakkan penyebab. Hari ini ramai yang mengatakan itu penyebab (GST).

“GST ini macam tiang lampu yang terang, tapi dia bukan penyebab. Tidak ada bukti dimana 160 negara yang lama mengamalkan GST mengatakan pelaksanaan itu telah menaikkan harga,” tambahnya. – MalaysiaGazette