Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.
Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

PUTRAJAYA – Malaysia merupakan sebuah negara yang diurus dengan baik terutama daripada segi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan.

Kejayaan dalam mengurus dua elemen itu sekaligus menidakkan dakwaan pihak-pihak tertentu yang mengatakan Malaysia merupakan sebuah negara bankrap.

Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN), Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, sejak daripada kepimpinan terdahulu, ekonomi negara telah berkembang sebanyak lapan kali ganda.

“Bila mana ekonomi negara berubah daripada awal 80-an, sebanyak RM148 bilion kepada RM1.2 atau RM1.3 trillion (pendapatan) berkehendakkan kita sentiasa menilai polisi-polisi dan dasar-dasar yang diambil (oleh kerajaan).

“Jadi, perubahan ini mengukuhkan struktur apabila saiz ekonomi berkembang termasuk juga dengan bilangan penduduk yang makin bertambah membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Noor Azlan juga menegaskan, status ekonomi negara selepas dibuat perbandingan dengan negara-negara lain mendapati Malaysia hanya mengalami kadar kemiskinan sekitar 0.4 peratus sahaja.

Malah katanya, isu kemiskinan di Malaysia bukan lagi isu yang berleluasa seperti yang berlaku di era 70-an.

Tambah beliau, apa yang sedang dihadapi kini ialah perkara melibatkan kualiti kehidupan rakyat agar dapat dijamin menerusi sebuah negara yang mempunyai kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi.

Dalam konteks beberapa indikator utama seperti pelaburan, eksport, perbelanjaan, pungutan cukai dan sebagainya pula semuanya berada dalam keadaan yang baik.

Meskipun begitu jelas beliau, dalam keadaan perubahan ekonomi yang mencabar mungkin terdapat kelompongan namun, ia boleh diperbaiki.

“Kalau kita lihat pertumbuhan ekonomi tahun lepas ia meningkat 5.9 peratus. Kalau dibandingkan dengan negara berpendapatan rendah dalam semua kategori Malaysia lebih baik daripada mereka.

“Bila mana sebuah negara dapat membuat pertumbuhan purata sebegini, itu adalah petanda negara itu mempunyai satu ekonomi yang berstruktur,” ujarnya. – MalaysiaGazette