Brig Jen (B) Mohamed Arshad Raji.

KUALA LUMPUR – Kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diakui dalam memastikan keamanan dan ketenteraman sepanjang proses pengundian PRU-14 esok.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Brigedier General (B), Datuk Mohd Arshad Raji berkata, pihaknya menaruh sepenuh keyakinan terhadap pasukan keselamatan itu dalam mengawal proses demokrasi yang akan diadakan kurang dari tempoh 24 jam agar tidak tercemar dengan sebarang insiden tidak diingini.

“Kami yakin bahawa jika ada elemen yang tidak diingini cuba menimbulkan kekacauan dan mengganggu proses pilihan raya, pihak polis akan menggagalkan rancangan mereka dan menahan mereka.

“Kami menggesa semua pengundi berdaftar di Malaysia untuk mengundi tanpa rasa takut atau gentar dan yakin bahawa undi anda adalah rahsia dan tidak dapat dikesan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Arshad menegaskan, laporan yang menyatakan bahawa mungkin akan terjadi kekacauan hingga menggesa rakyat menyimpan bekalan makanan merupakan maklumat dusta dan mempunyai motif tersembunyi untuk tidak menggalakkan rakyat daripada keluar mengundi.

“Patriot memuji PDRM kerana telah menjalankan tugas dengan baik setakat ini.

“Sekiranya parti yang kalah berusaha menimbulkan kekacauan, mengkontrakkan perbuatan jenayah, pasukan polis kita mesti menahan pengacau-pengacau ini sebelum mereka melakukan perbuatan jenayah yang dirancang,” ujarnya. – MalaysiaGazette