Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – “Saya juga sedar ramai yang kecewa kenapa saya tidak dilantik sebagai Menteri Besar Johor.”

Itu kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub namun beliau mahu semua pihak faham bahawa pelantikan jawatan itu tertakluk kepada apa yang tercatat di dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri.

“Keputusan telah dibuat dan semua pihak seharusnya menghormatinya demi memastikan kestabilan kerajaan dan semangat permuafakatan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Masih banyak ruang yang saya boleh berperanan selepas ini di Johor. Apa yang penting kita mesti menunaikan tanggung jawab besar di atas mandat yang telah rakyat berikan kepada kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai itu juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Osman Sapian yang dilantik menjadi Menteri Besar Johor yang baharu mewakili kerajaan PH.

Beliau seterusnya menyatakan kesediaan membantu Osman dengan segala kemampuan yang ada bagi memastikan kepercayaan rakyat dapat diterjemahkan dengan penampilan tadbirurus yang baik dan berkesan.- MalaysiaGazette

Osman Sapian MB Johor