KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa aplikasi MySejahtera yang dibangunkan oleh syarikat tempatan berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) kini mencecah 15.1 juta pengguna.
Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Redzuan Md Yusof berkata, aplikasi ini dapat membantu mengawasi penularan wabak COVID-19
“Melalui fungsi penilaian kesihatan sendiri, pengguna perlu menjawab soalan-soalan berhubung keadaan kesihatan dan maklumat perjalanan mereka sewaktu mula-mula menggunakan aplikasi tersebut ikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).
“Pengguna seharusnya mengemas mengemas kini faktor kesihatan dan maklumat perjalanan mereka untuk mengetahui risiko mereka terhadap Covid-19 selain itu terhadap banyak fungsi lain iaitu hotspot trackker,” jawab Redzuan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT), hari ini.
Redzuan berkata demikian menjawab pertanyaan bekas Timbalan Menteri Kesihatan PH, Dr Lee Boon Chye di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Gopeng itu mahu tahu mengenai jumlah penggunaan aplikasi itu dan sejauh mana aplikasi MySejahtera membantu untuk mengawal pendemik Covid-19.
Aplikasi MySejahtera merupakan satu instrumen yang membolehkan KKM mengambil tindakan yang cepat serta tepat untuk mengenal pasti dan memaklumkan kontak rapat sekiranya berlaku kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan semua pemilik premis akan diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera apabila ia akan dimasukkan dalam peraturan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Ia bagi mengelak KKM berdepan masalah untuk mengesan kontak rapat kes jangkitan Covid-19 berikutan ada premis yang tidak menggunakan aplikasi itu atau aplikasi lain untuk tujuan pengesanan.
Dalam pada itu, Redzuan berkata, aplikasi MySejahtera juga boleh membantu mengesan kontak rapat mereka yang dijangkiti Covid-19.
Untuk rekod, setakat Ahad lalu, seramai 320 pesakit positif Covid-19 berjaya dikesan melalui aplikasi ini. – MalaysiaGazette