Sebahagian ahli Puteri UMNO berjalan keluar selepas melawat Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO Tangga Batu, Dira Abu Zahar berkata, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menasihatkan agar Pergerakan Puteri UMNO terus istiqomah terhadap perjuangan parti.

Beliau bersama lebih 30 ahli Puteri UMNO bertemu Najib kira-kira setengah jam turut berkata, Najib tetap nampak positif biarpun beliau dilanda pelbagai cabaran selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

“Beliau berpesan supaya jangan mengalah dan terkejut sebab dia sangat positif cuma tidak dapat jumpa lama sebab ada urusan.

“Beliau menasihatkan agar pergerakan Puteri UMNO sentiasa bersatu dan terus memperkuatkan saf agar apa yang berlaku kita akan belajar dari kesilapan,” katanya di perkarangan rumah Najib.

Pergerakan Puteri UMNO Tangga Batu, Dira Abu Zahar bercakap kepada media selepas melawat Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 MEI 2018.

Pertemuan itu adalah rentetan daripada perjumpaan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dengan Najib semalam.

Dalam pada itu, Dira berkata, sayap UMNO itu akan tetap memberikan sokongan kepada Najib biarpun beliau sudah tidak memegang jawatan tertinggi parti itu.

“Kita sebahagian daripada Puteri UMNO, memang bercadang untuk bertemu Najib untuk menyatakan tanda sokongan kami dan juga sokongan moral dimana dia diduga sebegini hebat dan kita atas faktor selaku saudara sesama Islam rasa bertanggungjawab.

“Beliau sihat dan baik sahaja. Kami dapat jumpa sekejap sahaja tidak lama,” katanya lagi. -MalaysiaGazette