Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada sidang selepas perjumpaan pengurusan SPAD di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MEI 2018
Anthony Loke Siew

PUTRAJAYA – Hampir 800 kakitangan tetap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mampu menarik nafas lega selepas pengumuman oleh Kementerian Pengangkutan bahawa mereka tidak akan diberhentikan seperti yang tersebar luas sebelum ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook memberi jaminan pihaknya tidak akan sesekali menganiaya mana-mana kakitangan tetap sebaliknya akan menyerapkan kesemua mereka ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mempunyai kekosongan hampir 1000 tempat.

Jelas beliau, peranan SPAD akan diambil oleh Kementerian Pengangkutan terutama di bawah JPJ dan prosesnya kini sedang berjalan.

“Jangan bimbang tentang status anda ketika ini apatah lagi ada pihak tidak bertanggungjawab mengatakan semua kakitangan ini akan diberhentikan. Tetapi kami juga memerlukan masa untuk mengkaji mana-mana jawatan bertindih, proses sedang berjalan. Sabar dan jangan risau.

“Kerajaan Pakatan Harapan adalah kerajaan yang prihain dan memberi keutamaan dalam kepentingan rakyat, kita tidak akan aniyai mana-mana kakitangan kerajaan seperti yang didakwa.

“Ada kekosongan 1,000 jawatan terutama di bahagian penguatkuasaan dan sebagainya. Saya difahamkan terdapat kira-kira 800 kakitangan tetap di SPAD. Anda semua tidak perlu risau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat dengan JPJ berhubung krisis yang sedang di hadapi oleh kakitangan SPAD sebentar tadi di MOT, Putrajaya.

Loke juga menggesa supaya semua pihak tidak membangkitkan isu mengenai pemansuhan SPAD sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

“Tiada isu kononnya kakitangan ini dipecat, mereka semua akan bekerja seperti biasa cuma kita sedang susun atur operasi kakitangan SPAD, itu sahaja,” tegasnya.

Dr Mahathir dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama mengumumkan beberapa agensi dan badan kerajaan akan dibubarkan sebagai usaha kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan kewangan negara.

Beberapa agensi itu termasuk SPAD, Majlis Profesor Negara (MPN); Jawatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Susulan daripada pembubaran itu, UMNO dalam satu kenyataan menyifatkan keputusan kerajaan PH membubarkan beberapa agensi lebih berupa satu bentuk ‘hukuman’ kepada rakyat.

UMNO berkata dakwaan kononnya agensi terbabit digunakan sebagai alat politik adalah tidak benar sama sekali kerana ia adalah agensi pemudah urus kerajaan bagi memastikan pentadbiran setiap ceruk negara dipantau.

“Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) misalnya ditubuhkan khas bagi memantau sistem pengangkutan awam darat dan tidak timbul sebarang pertindihan dengan fungsi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette