Anthony Loke
Anthony Loke.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mahu orang ramai membandingkan kesungguhan kerajaan sekarang menangani isu penyewelengan 1MDB dengan misi pencarian pesawat MH370.

Menurutnya, kerajaan komited dalam memastikan laporan akhir siasatan misi pencarian oleh syarikat Ocean Infinity Limited di Lautan Hindi akan didedahkan dengan telus, terperinci dan terbuka kepada masyarakat umum.

Jelas beliau, walau apa pun keputusan laporan akhir itu, pihaknya akan tetap mendedahkan setiap inci siasatan kepada umum.

“Jangan bandingkan kesungguhan dan ketegasan siasatan berhubung penyewelengan skandal terbesar 1MDB dengan misi pencarian kehilangan MH370. Saya hanya menteri, bukan pakar yang mampu memberikan jawapan dalam isu ini.

“Saya tidak boleh jamin kita akan jumpa pesawat tetapi saya boleh beri keyakinan sebarang maklumat akan disalurkan secara telus.

“Tetapi saya boleh beri satu jaminan kepada anda semua, setiap maklumat berhubung siasatan berhubung misteri kehilangan pesawat MH370 ini akan didedahkan kepada umum secara telus dan terperinci, seperti yang ada dalam laporan siasatan secepat mungkin. Tidak ada apa-apa yang disembunyikan terutamanya kepada umum,” ujarnya pada sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) di sini hari yang turut di hadiri Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Abdullah Ahmad.

Menurut Anthony, laporan siasatan MH370 akan dibentangkan kepada kabinet sebelum diumumkan kepada masyarakat secara terperinci dan telus.

“Walaupun seandainya ada elemen kontroversi sekalipun, kita akan dedah. Itu jaminan saya,” katanya.

“Kita tunggu laporan daripada Ocean Limited esok, kemudian kita akan bentang kepada Kabinet sebelum mendedahkan kepada umum. Yang pasti, anda akan mendapat maklumat yang betul seperti yang termaktub dalam laporan tersebut tanpa sebarang pengubahsuaian.

“Kerajaan sentiasa komited dalam misi pencarian MH370 dan pencarian kini diteruskan oleh Ocean Infinity untuk mengesan bangkai pesawat yang berakhir di Lautan Hindi,” ujar Anthony.

Boeing 777 yang hilang pada Mac 2014 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 239 penumpang masih tidak ditemui walaupun pencarian diketuai oleh Australia di selatan Lautan Hindi dan diteruskan oleh Malaysia.- MalaysiaGazette