Pembatalan rancangan pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura oleh kerajaan Pakatan Harapan telah mencetuskan perdebatan hangat.
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Penganalisis ekonomi menggesa kerajaan melihat projek kereta api secara pragmatik supaya tidak terlepas peluang pembangunan hanya kerana faktor politik.

Penganalisis juga berpendapat, seperti juga Lebuh Raya Utara Selatan,  kemudahan logistik yang disediakan landasan kereta api juga akan membawa limpahan ekonomi.

Walaupun ia adalah merugikan dari segi operasi, tetapi impak pembangunannya menjadikan projek berkenaan berbaloi.

Pakar ekonomi, Peck Boon Soon berkata, pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memberi impak kepada pembangunan ekonomi negara untuk beberapa tahun akan datang.

Katanya, sektor yang dijangka menerima kesan paling menonjol ialah pembinaan.

“Walaupun masalah tidak akan timbul secara serta-merta, tetapi sebarang keputusan kerajaan akan memberi kesan berpanjangan,” katanya kepada Nanyang Siang Pau

Beliau berkata, peniaga di negeri-negeri Pantai Timur juga mengharapkan ECRL akan membawa limpahan ekonomi kepada kawasan berkenaan.

“Kerajaan mungkin mengkaji semula dua projek rel tersebut tetapi bukan membatalkannya. Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berpuas hati dengan kos pembinaannya.

“Jika kos berpatutan dapat ditawarkan, projek berkenaan dapat menarik lebih banyak pelabur ke negara ini,” katanya.

Penganalisis politik, Dr. Oh Ei Sun berkata, pembinaan landasan kereta api di China berjaya menjana pembangunan di banyak tempat.

Beliau bagaimanapun berkata, sebahagian orang di Malaysia bimbang projek landasan kereta api akan menjadi gajah putih memandangkan keadaan di China mungkin berbeza dengan Malaysia.

Ei Sun berpendapat, kerajaan tidak semestinya akan membatalkan HSR, beliau sebaliknya melihat persaingan China dan Jepun untuk membida projek itu sebagai “paling mencuri perhatian.” – MalaysiaGazette