Pembatalan rancangan pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura oleh kerajaan Pakatan Harapan telah mencetuskan perdebatan hangat.
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Pembatalan rancangan pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura oleh kerajaan Pakatan Harapan telah mencetuskan perdebatan hangat.

Media bahasa Cina luar negara cenderung melihat pembatalan tersebut sebagai “menyasarkan Datuk Seri Najib Tun Razak” dan bukannya “menyasarkan pelabur China” .

Sementara itu, terdapat penganalis tempatan cuba mengintepretasi impak pembatalan projek mega itu ke atas hubungan Singapura dan Malaysia pada masa depan.

Para penganalisis juga melontarkan suara berlainan mengenai projek itu dengan ada yang bersetuju pembatalannya sementara ada yang mahu kerajaan mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

Penganalisis kanan Phoenix Web berpendapat, Dr. Mahathir memahami kepentingan hubungan Malaysia-China dan tidak akan mengundang kemarahan Beijing dengan sewenang-wenangnya.

Menurut portal popular itu, walaupun dasar luar Malaysia dijangka tidak akan mengalami perubahan mendadak, tetapi pelabur China tetap berdepan cabaran yang besar terutamanya apabila sesetengah projek mega dibatalkan.

“Keadaan ini melambangkan kerugian besar buat syarikat China,” kata portal itu yang memetik seorang penganalisis.

Dalam pada itu, China Press melaporkan, pembatalan HSR Malaysia-Singapura menyebabkan fokus antarabangsa dialihkan kepada Thailand dan Indonesia yang giat memajukan kemudahan rel.

Thailand mahu menghubungkan Bangkok dengan Chiang Mai dan kawasan pantai di timur dengan HSR manakala Indonesia mahu melancarkan HSR antara Jakarta dengan Bandung.

Editor kanan, Sinchew Daily, Zhu Yun Jian pula berpendapat, hubungan Malaysia dengan Singapura menerima kesan yang minimum daripada pembatalan projek HSR yang menghubungkan dua negara.

Beliau berkata, perkara yang paling mencuri perhatian dalam hubungan bilateral dua negara ialah peralihan kuasa yang akan berlaku di kedua-dua negara dua tahun lagi.

“Singapura akan mengadakan pilihan raya dua tahun lagi dan Lee Hsien Loong akan menyerahkan kuasa. Dr. Mahathir pula menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Malaysia dan Singapura terlalu sibuk dengan hal dalaman masing-masing. Dr. Mahathir sibuk memulihkan keadaan negara manakala Singapura sibuk dengan peralihan kuasa. Hubungan dua negara tidak akan alami tamparan besar untuk dua tahun,” katanya.

Seorang penganalis Sinchew Daily, Chen Fang Long berkata, keputusan pembatalan projek HSR adalah langkah bijak oleh kerajaan.

Beliau juga menyeru supaya satu lagi projek mega iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga dibatalkan kerana ECRL dikatakan “akan menjadi projek yang lebih gagal daripada HSR. – MalaysiaGazette