Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad menyempurnakan gimik perasmian Program Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia di Serdang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 31 MEI 2018.
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad menyempurnakan gimik perasmian Program Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia di Serdang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 31 MEI 2018.

SERDANG – Penggunaan tembakau di dunia membunuh hampir separuh daripada penggunanya iaitu kira-kita enam juta orang setiap tahun.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, lebih daripada lima juta kematian berpunca daripada penggunaan produk tembakau secara langsung.

“Sebanyak 600,000 kematian dicatatkan dalam kalangan bukan perokok yang mati akibat terdedah kepada asap rokok.

“Jika kita tidak bertindak sekarang, ianya akan membunuh lebih lapan juta orang setiap tahun menjelang 2030,” katanya pada sidang media di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, di sini.

Hadir sama Naib Censelor UPM, Prof Datin Paduka Datuk Dr Aini Ideris dan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Ravindran R Naidu.

Dzulkefly juga berkata, lebih daripada 80 peratus kematian itu melibatkan masyarakat awam daripada negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah.

Katanya, kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS), pada 2011 menunjukkan peratusan merokok rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah 23.1 peratus, menurun kepada 22.8 peratus pada 2015.

“Kajian Global Youth Tobacco Survey yang dijalankan pada 2003, 2009 dan 2016 menunjukkan penurunan ketara.

“Ia melibatkan dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 15 tahun iaitu masing-masing 20.2 peratus, 18.2 peratus dan 14.8 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette