Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad meluangkan masa melawat ruang pameran pada Program Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM Serdang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 31 MEI 2018
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad meluangkan masa melawat ruang pameran pada Program Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM Serdang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 31 MEI 2018

SERDANG – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak bercadang untuk menaikkan harga harga rokok pada masa ini yang ditetapkan sebelum ini sehingga RM21.50 sepaket.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, meskipun kementeriannya giat melakukan pelbagai usaha untuk kempen kesedaran tanpa produk tembakau itu, namun kerajaan mahu mengekalkan harga rokok semasa.

“Kerajaan PH kita akan kekalkan harga rokok, tiada kenaikan harga akan berlaku. Itu komitmen kita bagi memastikan harga probatif akan menjadi satu cara untuk kita mencegah penggunaan rokok.

“Walaupun kita telah turunkan kadar sifar GST dan kita boleh menggabungkan duti eksais dalam mengekalkan harga rokok dan bukan menaikkan kadar semasa,” katanya pada sidang media di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Beliau mengulas langkah kerajaan memperkenalkan Akta Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok dalam usaha mengawal penggunaan hasil tembakau dan bahan-bahan lain berkaitan merokok.

Akta baharu itu akan merangkumi kawal selia terhadap rokok elektronik serta produk rokok yang lain pada masa hadapan.

Ditanya tentang cadangan untuk menaikkan harga rokok bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahayanya amalan itu, beliau berkata ia tiada halangan untuk dilakukan.

“Saya tidak fikir akan ada masalah (dapat sokongan kementerian lain) kerana pendirian kami hampir sama,” katanya. – MalaysiaGazette