Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menawarkan diri bertanding Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan kali ini.

“Ujian yang melanda UMNO kini merupakan satu isyarat Allah agar setiap pendokong parti benar-benar menjiwai makna perjuangan sejati.

“Sekiranya perjuangan untuk mengejar pangkat dan kebendaan, hakikatnya pangkat dan kebendaan sudah tiada. Yang tinggal hari ini hanyalah sisa-sisa perjuangan yang menagih kesetiaan dan keikhlasan setiap warga untuk melakukan perubahan dalam parti,” katanya dalam status media sosialnya hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, perubahan dalam UMNO harus bermula dengan pembangunan generasi muda pewaris perjuangan.

“Pemuda perlu disuntik dengan idealisme, ruh dan semangat pengorbanan berteraskan prinsip Islam sejati, sebagaimana mendasari perjuangan UMNO sejak awal penubuhannya,” katanya lagi.

Justeru beliau menetapkan lima agenda utama harus difokuskan untuk memaknakan perubahan ini iaitu pengkaderan, pentarbiahan, pemantapan ilmu, pengukuhan jati diri dan pemerkasaan rohani.

“Berpandukan lima agenda inilah, dengan penuh rasa keinsafan, amanah dan tanggungjawab saya menawarkan diri sebagai calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,” katanya.

Sebelum itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Haron juga menawarkan diri jawatan yang sama selepas Khairy Jamaludin Abu Bakar mengumumkan akan bertanding Naib Presiden UMNO.- MalaysiaGazette