KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan telah membuat laporan polis berkaitan ketidakpuasan hati seorang guru tentang proses pertukaran guru yang ditular di laman media sosial.

Kementerian itu  berkata, laporan polis dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya hari ini bagi mendesak polis menyiasat secara terperinci terhadap pihak yang membuat tuduhan serta menularkannya di media sosial.

“Dalam masa yang sama, KPM juga telah menggerakkan siasatan dalaman berkaitan isu berkenaan.

“KPM juga ingin menasihatkan kepada guru-guru yang ingin memohon pertukaran agar terus berhubung KPM dan bukannya pihak luar atau pihak ketiga bagi mengelakkan unsur-unsur penipuan dalam menyelesaikan sebarang isu berkaitan permohonan pertukaran guru,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, proses kelulusan pertukaran seseorang guru adalah berdasarkan kepada tiga kriteria utama iaitu Kepentingan Perkhidmatan, Kekosongan Perjawatan serta Keperluan Opsyen di sesebuah sekolah di negeri yang dimohon.

Katanya, alasan-alasan permohonan yang diberi pertimbangan dalam menentukan kelulusan pertukaran tersebut adalah melibatkan sakit kronik ancaman keselamatan, mengikut pasangan, tempoh berkhidmat di sesebuah sekolah dan lain-lain alasan munasabah dan wajar.

Justeru tegas KPM,  dalam membuat pertimbangan terhadap pertukaran guru serta kebajikan mereka, pihaknya juga perlu memberi keutamaan terhadap kebajikan dan kepentingan pembelajaran murid.

“Permohonan pertukaran guru dibuka sekali setahun menerusi Modul atas talian e-GTukar bermula 18 Februari 2018 hingga 25 Mac 2018.

“Semua permohonan itu diproses dengan mengambil kira alasan-alasan pemohon berdasarkan wajaran seperti ditetapkan dalam sistem e-GTukar itu.

“Sementara keputusan terhadap kelulusan pertukaran itu dimuktamadkan oleh satu jawatankuasa Pertukaran Guru di peringkat KPM,” kata kenyataan tersebut.

Dalam tempoh itu, menurutnya, seramai 25,332 guru membuat permohonan pertukaran manakala jumlah yang diluluskan bagi sesi Jun 2018 adalah seramai 2,133 orang (8.42 peratus).

Daripada jumlah itu, kelulusan bagi pertukaran guru sekolah rendah adalah seramai 1,257 orang (4.96 peratus) dan sekolah menengah adalah seramai 876 (3.46 peratus), katanya.

KPM menambah, daripada jumlah itu, alasan tertinggi yang diberi kelulusan adalah kes mengikut pasangan iaitu seramai 951 orang (44.59 peratus), diikuti kes tempoh berkhidmat seramai 387 orang (18.14 peratus), lain-lain alasan munasabah seramai 368 orang (17.25 peratus), kes sakit kronik seramai 219 orang (10.27 peratus), kes permohonan bersama seramai 168 orang (7.88 peratus) dan kes ancaman keselamatan seramai 40 orang (1.88 peratus). – MalaysiaGazette