Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng bercakap pada sidang media mengenai hutang RM1 Trillion di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2018
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng akan ke China bagi membincangkan mengenai dua projek saluran gas berjumlah RM9.4 bilion yang dibayar berdasarkan tempoh masa dan bukannya mengikut progres projek.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ke China untuk berbincang dengan beberapa pihak.

Semalam, Menteri Kewangan itu mendedahkan satu lagi transaksi mencurigakan bernilai RM8.3 bilion yang dipercayai mempunyai hubungan dengan SRC International dan Jho Low.

Transaksi tersebut membabitkan pembayaran 88 peratus untuk kerja-kerja dua projek saluran paip petroleum daripada jumlah keseluruhan bernilai RM9.4 bilion sedangkan kerja yang telah disiapkan hanya 13 peratus sahaja.

Sebahagian daripada pembayaran itu dilakukan dalam ringgit manakala bakinya dilakukan dalam mata wang China, Yuan.

Projek Multi-Product Pipeline (MPP) itu menghubungkan Melaka dan Port Dickon ke Jitra membabitkan kos sebanyak RM5.3 bilion.

Guan Eng berkata, projek MPP dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) itu diberikan kepada anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) yang ditubuhkan pada 19 Mei 2016 untuk tujuan menjalankan kedua-dua projek berasingan itu.

Dr Mahathir berkata, mekanisme pembayaran berdasarkan masa dan bukan progres kerja adalah salah.

“Kita akan kaji sistem pembayaran yang telah dipersetujui oleh kerajaan terdahulu,” sambil menyifatkan amalan itu bukan normal dan hanya dibuat semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette