Projek ECRL sepanjang 688 kilometer itu akan menghubungkan Lembah Klang dengan kawasan Pantai Timur melalui rangkaian perkhidmatan kereta api yang melalui Pelabuhan Klang, Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Jelawat di Bachok dan berakhir di Pengkalan Kubor, Tumpat.

PUTRAJAYA – Kerajaan kemungkinan menangguh atau membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang membabitkan kos sebanyak RM55 bilion.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kajian ke atas projek berkenaan masih dibuat.

Menurut beliau, kerajaan akan berunding terma-terma projek itu bagi memastikan tidak membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk ECRL memandangkan negara tidak mampu membiayai dengan kos yang tinggi.

“Kami mendapati kontrak itu membabitkan pembayaran berdasarkan tempoh masa spesifik.

“Setakat ini, kita dapati kerja-kerja yang dilakukan jauh lebih rendah berbanding pembayaran yang telah dibuat. Projek itu akan dikaji, kita boleh menangguhkan atau menamatkannya,” kata Dr Mahathir dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet.

Projek ECRL itu menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dan Pengkalan Kubor di Kelantan.

Sebelum ini, Dr Mahathir memaklumkan kerajaan akan mengadakan rundingan semula terma-terma projek berkenaan memandangkan ia melibatkan pelbagai syarikat China.

Kontraktor bagi projek itu adalah China Communication Construction Co Ltd dan pembiayaan pula dari Export and Import Bank of China (Exim). – MalaysiaGazette