Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya tidak membatalkan projek yang memberi manfaat banyak kepada rakyat, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata, kerajaan baharu perlu lebih bertimbang rasa dalam membuat keputusan membatalkan projek-projek yang sedang dan akan berjalan kerana ia akan memberi kesan kepada rakyat kelak.

“Saya tidak kisah jika kerajaan berusaha untuk memadamkan segala legasi ditinggalkan sepanjang 9 tahun saya sebagai Perdana Menteri, namun kerajaan perlu lebih telus dan lebih bertimbang rasa.

“Mereka mula membatalkan pelbagai projek atau inisiatif yang dimulakan untuk manfaat rakyat dan negara hanya kerana mahu memadamkan legasi saya atau mempunyai persepsi, ia dimulakan oleh saya, lantas ia perlu dihenti atau dipadamkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dalam tempoh dua minggu sahaja, kerajaan sudah membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan MRT3 yang telah dikaji bertahun lamanya.

“Kajian menunjukkan manfaat ekonomi melampaui kos pembinaannya. Projek MRT3 juga diperlukan bagi melengkapkan jaringan bagi mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih berintegrasi di Lembah Klang.

“Tanpanya, Lembah Klang akan terus berdepan dengan peningkatan masalah kesesakan jalan raya,” katanya.

Dalam isu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Najib mempertahankan projek itu akan memberi manfaat kepada tiga negeri pembangkang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Tidakkah siapa sedar yang tiga negeri yang bakal menerima manfaat paling banyak daripada ECRL ini iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang merupakan negeri yang bukan di bawah kerajaan Harapan?

“Adakah ini satu kesinambungan daripada amalan menghukum negeri pembangkang? Sebagaimana dilakukan Tun Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun apabila Kelantan dinafikan kemudahan asas rakyat seperti lebuhraya, jalan raya, bekalan air dan pembangunan infrastruktur pembetungan,” ujarnya. – MalaysiaGazette