Siti Zabedah Kasim

KUALA LUMPUR – Sikap Siti Zabedah Kassim membimbangkan sehingga Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyuarakan hasratnya menganjurkan dialog terbuka di antara aktivis dan peguam tersebut dengan Ustaz Salman Ali.

Mohd. Asri yang juga dikenali sebagai Maza menerusi posting yang dimuatnaiknya di Facebook berkata, cadangan itu bertitik tolak daripada kebimbangan pelbagai pihak terhadap kenyataan-kenyataan yang dilontarkan oleh Siti Kassim.

“Ramai yang gelisah dengan cara dan apa yang dilakukan oleh seorang yang dikenali dalam media sebagai Cik Siti Kassim. Sikap beliau membimbangkan banyak pihak.

“Atas asas pendekatan yang matang dan ilmiah, pihak saya dengan kerjasama One Centre Malaysia, Perlis dan Badan Peguam Perlis sedang mengatur satu dialog terbuka berkaitan Islam di Malaysia antara Ustaz Salman Ali dan Cik Siti Kassim,” katanya.

Dr Maza memuat naik status di Facebooknya berkenaan Siti Kasim dan dialog yang ingin diadakannya.
Dr Maza memuat naik status di Facebooknya berkenaan Siti Kasim dan dialog yang ingin diadakannya.

Beliau yang akan bekerjasama dengan One Centre Malaysia, Perlis dan Badan Peguam negeri itu untuk mengadakan dialog tersebut walaubagaimanapun masih belum memuktamadkan tarikh dan lokasi dialog tersebut akan diadakan.

Siti Kasim sebelum ini berkata bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu dihapuskan secepat mungkin demi kesejahteraan negara.

Baru-baru pula beliau mendesak Jakim berhenti menggunakan peruntukan daripada kerajaan kepada badan berkenaan untuk membiayai sekolah tahfiz.-MalaysiaGazette