KUALA LUMPUR –  Prestasi ringgit dijangka dipengaruhi oleh faktor luaran pada minggu depan berikutan pelbagai perkembangan penting yang berlaku membabitkan aspek monetari dan geopolitik, kata seorang peniaga.

Ketua Dagangan Asia-Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata pasaran bakal berdepan minggu sibuk termasuk mesyuarat dasar bank pusat Amerika Syarikat (AS) serta sidang kemuncak geopolitik dikenali ‘Trump-Kim’ membabitkan pertemuan Presiden Donald Trump dan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Singapura.

“Sentimen pasaran adalah positif namun ia boleh bertukar sebaliknya sekiranya rundingan itu gagal,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata, kalangan pelabur akan turut memantau perkembangan hasil rundingan dagangan Kumpulan Tujuh (G7) dan rundingan dagangan AS-China yang sedang berlangsung serta hasil mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) dan Bank Pusat Eropah (ECB).

Beliau berkata, Fed dijangka mengumumkan kenaikan kadar faedah pada Rabu depan walaupun pelabur sebaliknya lebih berminat untuk melihat perkembangan susulan iaitu sama ada mereka akan menaikkan kadar itu buat kali keempat tahun ini.

“Pasaran juga akan memantau erat mesyuarat ECB susulan spekulasi bahawa ia akan membincangkan aspek kuantitatif.

“Oleh itu, minggu depan sememangnya penting berikutan banyak perkembangan yang berlaku. Saya menjangkakan kadar semasa ringgit akan bertahan dengan nilai dolar US berbanding ringgit lebih cenderung kepada peningkatan.

“Ini sekali gus menyaksikan kemungkinan mencecah paras 4.00 (ringgit berbanding dolar) jika sidang kemuncak Trump-Kim gagal dan sama ada ECB mahu pun Fed berpendirian lebih keras seperti dijangkakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Strategi Tukaran Asing dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata di peringkat tempatan, para pelabur akan menumpukan angka jualan runcit yang akan diumumkan pada Selasa ini.

“Data itu merupakan petunjuk utama terhadap sentimen pengguna dan sebarang angka kukuh yang mengatasi jangkaan dapat meningkatkan rasa optimis bahawa ekonomi Malaysia dapat mencatat pertumbuhan melebihi 5.0 peratus pada 2018.

“Unjuran ketika ini adalah jualan runcit itu sepatutnya meningkat sekitar 8.0 peratus pada April,” katanya.

Bagi asas perbandingan Jumaat ke Jumaat, nilai ringgit susut berbanding dolar US kepada 3.9870/9900 daripada 3.9770/9800.

Ringgit juga susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9836/9881 daripada 2.9728/9761 dan rendah berbanding yen kepada 3.6468/6505 daripada 3.6393/6430.

Unit tempatan itu juga rendah berbanding pound Britain kepada 5.3482/3534 daripada 5.2902/2946 dan susut berbanding euro kepada 4.6903/6946 daripada 4.6551/6594. – BERNAMA